Nangis tertipu
Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
TERTIPU...Haniah sebak mengenang kejadian yang menimpa dirinya.
PETALING JAYA: Seorang warga emas kerugian RM11,000 hanya mampu menitis air mata selepas diperdaya seorang wanita yang menawarkan pekerjaan kepadanya, petang kelmarin.
Menurut mangsa, Haniah Osman, 58, dia didatangi suspek yang berperwatakan menarik yang menawarkan kerja kepadanya sebagai tukang masak di kantin sebuah sekolah dengan gaji RM950 sebulan.
“Sebelum ini, wanita berambut perang paras bahu itu ada datang ke Flet Seri Gasing dua hari berturut-turut kononnya untuk mencari pekerja.
“Wanita itu menemui saya yang mengalami sakit sendi sejak lima tahun lalu sebelum berpura-pura simpati dengan penderitaan yang saya alami.
“Dia menawarkan kerja di kantin sekolah kepada saya, tetapi saya enggan kerana ketika ini saya bekerja di kedai makan anak saudara yang terletak berhampiran rumah selain memberi alasan mengalami sakit lutut menyebabkan saya tidak mampu berdiri lama,” katanya ditemui di kediamannya di sini, semalam
Menurutnya, wanita terbabit yang gagal memujuknya bekerja menawarkan khidmat untuk membawanya menjalani rawatan lutut secara akupuntur di sebuah hospital di Cheras.
“Ketika itu saya baru sampai di rumah dan ingin berehat, tiba-tiba wanita itu datang menaiki sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam memberitahu dia sudah membuat temujanji dengan doktor terbabit.
“Tanpa sempat menyalin pakaian dan dengan ditemani suami, saya dibawa ke hospital berkenaan dan dalam perjalanan wanita terbabit sempat menyuruh saya meninggalkan barang kemas yang dipakai kononnya untuk menjalani imbasan X-Ray,” katanya yang kemudian menyerahkan beg tangan itu kepada suaminya untuk disimpan.
Wanita licik itu kemudian membawa warga emas itu ke tingkat dua bangunan hospital dan meninggalkannya di situ dengan alasan untuk mengambil barang yang tertinggal dalam kereta.
“Rupa-rupanya dia pergi menemui suami dan mengambil beg tangan kononnya diarahkan oleh saya, lalu menghilangkan diri,” katanya yang kerugian apabila tiga utas rantai, seutas gelang, dua bentuk cincin, sepasang subang serta wang tunai yang semuanya bernilai hampir RM11,000 lesap.
“Saya hampir pengsan apabila menyedari ditipu namun bernasib baik kerana tidak dicederakan,” katanya yang meminta orang ramai berhati-hati jika didatangi wanita berkulit cerah, berbadan gempal yang berusia dalam lingkungan 30-an.
Warga Indonesia maut dalam pergaduhan dengan rakan senegara
10 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan